SIARAN MEDIA
PLANETARIUM NEGARA
KEMENTERIAN TENAGA, SAINS, TEKNOLOGI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM
PERTANDINGAN NAMEEXOWORLDS MALAYSIA
17HB DISEMBER 2019, KUALA LUMPUR – Planetarium Negara di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dengan kerjasama ApaDiLangit telah melaksanakan Pertandingan NameExoWorlds Malaysia 2019 sempena sambutan ulang tahun ke-100 International Astronomical Union (IAU). Pertandingan ini merupakan sebuah pertandingan peringkat kebangsaan yang julung-julung kali diadakan bermula 1hb Julai hingga 27hb Oktober 2019. Pertandingan ini telah dilancarkan secara rasmi oleh YB Menteri MESTECC, Puan Yeo Bee Yin pada 13hb Jun 2019 di Planetarium Negara sempena lawatan rasmi Charles Bolden, bekas Ketua Pengarah NASA ke Planetarium Negara. Pertandingan ini terbuka kepada murid sekolah rendah dan menengah bagi menamakan sebutir bintang dan sebuah planet yang akan mewakili negara di alam semesta. Malaysia merupakan salah sebuah daripada 112 buah negara yang telah tersenarai untuk menyertainya. Pertandingan ini menyediakan peluang unik dan memberi inspirasi kepada masyarakat terutamanya generasi muda bagi menyumbang kepada penerokaan astronomi dan sains angkasa.
Sebanyak 1,435 penyertaan dari seluruh negara telah diterima dan sebanyak 45 penyertaan telah disenarai pendek manakala 5 penyertaan terbaik telah dipilih oleh ahli panel penilai peringkat kebangsaan bagi mewakili negara dalam pertandingan ini.Pemenang telah diumumkan melalui siaran langsung pada hari ini, Selasa, 17 December 2019 11:00–12:00 CET bersamaan dengan jam 6.00 petang waktu tempatan melalui Press Conference to Reveal Nationally-selected Names of 100+ Exoplanet Systems oleh Jawatankuasa Pemandu IAU yang berpangkalan di 77 Avenue Denfert-Rochereau 75014, Paris, France.
Nama Bintang dan Planet yang telah terpilih bagi Malaysia ialah seperti berikut:
Pelajar yang terpilih membawa nama negara ke name exoworld ialah KONG YI LERK, Nombor kad pengenalan 110427-14-1329 dari SJK(C) Mun Choong, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
MESTECC mengucapkan tahniah kepada pelajar yang berjaya menempa nama ke peringkat antarabangsa dan membawa nama INTAN dan BAIDURI terpeta di angkasa seluas alam semesta. Seterusnya pertandingan ini juga diharapkan dapat memberikan impak secara langsung kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada golongan generasi muda yang akan meneruskan legasi astronomi dan angkasa lepas Malaysia ke persada antarabangsa.
Planetarium Negara
Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar